Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2021
Category : Aktiviti Sekolah
Sambutan Hari Guru SMJK Yu Hua telah diadakan pada 22 Mei 2021 (Sabtu) secara atas talian melalui platform Microsoft Teams. Majlis sambutan ini telah dihadiri oleh semua guru SMJK Yu Hua, AJK Lembaga Pengelola Sekolah, AJK PIBG dan juga wakil murid-murid dari pelbagai Badan Beruniform, Kelab & Persatuan serta Sukan & Permainan.
Majlis sambutan dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah. Seterusnya diikuti dengan ucapan oleh Ketua Pengawas, Pengetua SMJK Yu Hua, YDP PIBG dan Pengerusi LPS.
Gimik Perasmian telah disediakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6.
Majlis diteruskan dengan Penyampaian Hadiah oleh PIBG dan LPS. Pihak PIBG dan LPS berbesar hati menghadiahkan semua guru dengan sebuah termos. Terima kasih diucapkan. Seterusnya ialah penerima Anugerah Perkhidmatan Setia (perkhidmatan selama 10 tahun dan ke atas) dan Anugerah Setia Bakti (kehadiran penuh). Guru-guru tersebut akan menerima Sijil Penghargaan dan wang saguhati. Tahniah diucapkan kepada guru-guru yang menerima anugerah.
Seterusnya ialah bacaan Ikrar Hari Guru yang diketuai oleh En Mohd Kamaruzaman dan diwakili oleh En Balaramal serta En Thock Kia Mua. Kemudian diikuti dengan nyanyian lagu Kami Guru Malaysia yang diketuai oleh En Khairul Faiz. Seterusnya ialah gimik tiupan lilin kek Hari Guru.
Majlis diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh Kelab Koir, persembahan muzik instrumental oleh Kelab Harmonika dan video ucapan Selamat Hari Guru yang disediakan oleh murid kelas 5I.
Majlis sambutan Hari Guru diakhiri dengan video persembahan ringkas yang disediakan oleh pihak PIBG dan LPS. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada tahun 2021 ini. Sehingga berjumpa lagi.
SELAMAT HARI GURU
Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
